Monday, January 31, 2011

Teguran Itu Penting


Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain


Ayat diatas adalah antara kata-kata cerdik pandai mengenai orang yang menegur dan ditegur. Teguran boleh berlaku di mana-mana, berlaku di dalam pemerintahan kerajaan, di dalam syarikat-syarikat, di dalam persatuan-persatuan, di sekolah. Dalam rumahtangga juga berlaku, bapa menegur anak, isteri ditegur suami, dan lain-lain. Makna katanya teguran itu berlaku di mana-mana sahaja.

Membina dan Meroboh

Teguran boleh dibahagi kepada dua secara asasnya, teguran yang membina dan yang statik dan jumud. Manusia keseluruhannya mengharapkan teguran yang membina bukan yang statik. Tetapi tidak kurang juga yang tidak lansgsung suka ditegur.

Sifat manusia yang diketahui ialah, hanya bersedia ditegur apabila dia yang memerlukan teguran tersebut. Contohnya, Si A pergi ke Si B dan ingin meminta teguran atau nasihat, ketika itu apa sahaja yang dikatakan oleh Si B akan di dengari dengan berlapang dada.

Lain pula sekiranya seseorang yang tidak memerlukan teguran, tiba-tiba ditegur. Hanya setengah orang yang berjiwa besar sahaja yang boleh menerima teguran spontan tersebut, Manakala yang berjiwa kecil, akan terasa dan terus terseksa hati.

Orang yang Menegur

Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, yang berbeza hanya banyak dan sedikit. Tetapi biarlah orang yang cuba menegur tersebut adalah orang yang minimum kesalahannya supaya teguran yang diberikan itu bersifat trully dan hidup.

Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sesuatu yang agak pelik apabila penagih dadah tegar mengajar atau menegur orang lain pergi ke masjid, walhal mereka sendiri masih terkontang kanting ditepi longkang dalam kotak.

Sebab itu kalau kita suka menegur, kita mesti pastikan teguran itu dituju ke arah kita terlebih dahulu, kemudian baru ke orang lain.

Orang yang Ditegur

Teguran itu kebiasaannya bersifat membina, kerana apa yang tidak kita sedar kadang-kadang orang lain sudah sedar terlebih dahulu, persepsi kita lain, persepsi orang, lain. Sebab itu apabila ditegur, jangan terlalu cepat melenting dan menolak teguran tersebut. Kalau begitu, anda adalah orang paling rugi, kerana anda berpeluang membina diri anda tetapi awal-awal lagi anda sudah merobohkannya.

Kata Hukama, "Orang biasa akan marah apabila dikritik oleh orang lain, manakala orang yang mulia ialah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan orang lain. Seharusnya begini lah resam kehidupan kita".

Manusia memerlukan 'cermin' bagi bagi meneliti diri. Orang disekeliling adalah cermin bagi kita. Cuba bayangkan anda bercukur misai tanpa bercermin. Bukankah susah?..

Yang Paling Penting

Setiap orang yang menegur pasti sedia juga ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Sebab itu penting apabila menegur isyaratkan terlebih dahulu, teguran itu adalah terlebih dahulu untuk diri sendiri.

Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya 3 jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri. Itu adatnya.

Pelangi selepas Hujan



Seringkali hati kecil mengaduh sakit, seringkali jiwa meratap hiba. Dugaan dan ujian yang bertimpa-timpa, kadangkala menewaskan semangat yang ada. Kadangkala kita berasa sendirian dan terasa betapa kita dipinggirkan. Ketika kita menyangka sudah tidak ada lagi yang bernilai dalam kehidupan dan yang kita lihat hanyalah jalan suram di hadapan.

Lantas kita marah kepada Tuhan, kita kecewa dengan ketentuan yang diciptakan. Kita menyalahkan takdir hitam dan saat itu sendu airmata mengaburkan kewarasan. Lalu kita hilang pertimbangan, di antara keimanan dan rasukan syaitan. Kita hanya nampak jalan mudah untuk melepaskan diri, lalu ada yang seringkali memilih kematian sebagai penyelesaian.

Pernahkah sekali kita memahami alam.

" Mengapa Tuhan hadirkan pelangi selepas hujan? "

" Mengapa Tuhan tumbuhkan bunga selepas kering-kontang? "

Hanya daripada benih hitam yang kusam, apabila disirami hujan lantas berbunga cantik. Maka tersenyumlah alam. Betapa indahnya aturan Tuhan.

" Mengapa tidak ada hujan berpanjangan atau sinar mentari yang menyinari alam? "

" Mengapa harus ada putaran alam seperti hitam malam dihiasi bintang? "

" Mengapa untuk tidak ada sekaligus dalam satu masa? "

" Mengapa harus hilang sesuatu untuk sesuatu? "

Jawabnya, SENANG.

Kerana tidak ada kemanisan tanpa ada kepahitan, dugaan dan rintanganlah yang mewarnai kehidupan. Mengecapi kebahagiaan memerlukan adanya pengorbanan. Setiap kesenangan akan ada bayaran contohnya seperti Tuhan hadirkan pelangi selepas hujan dan kicau burung yang menyanyikan kedamaian.

" Biar hujan di dalam hati, pasti ada pelangi yang menanti. Insyaallah. "

Petiklah Bunga Itu Wahai Kumbang Sakti



Bunga mekar di taman larangan
Elok kelopaknya, elok harumannya
Dijaga rapi Sang Penjaga
Dihias tertib tiada tercela

Aku menyaksikan bunga itu kembang
dan aku juga menyaksikan bunga itu layu.
Lantas! Siapa yang harus kupersalahkan?
Bunga itu? Atau kamu sang kumbang?
Atau kamu?

Tika bunga itu mula menjalar indah ke hentian tertinggi,
Kau datang merampas langkahnya.
Kau datang menghalang cintanya.
Ya!
Kamu datang menghalang cintanya
pada Raja Segala Cinta.
Masakan tidak kamu ketahui?
Cintanya itu milik Raja Segala Cinta!
Kamu tahu itu?
Kamu sedar itu?
Bukankah kamu kumbang sakti?
Mengapa tegar untukmu,
merampas dan merosak cintanya pada Si Dia?

Kamu datang membawa sejuta janji
Kamu datang membawa sejuta pengharapan
Dia itu bunga, wahai kumbang.
Dia itu bunga.
Disentuh oleh tangan asing, layulah dia
Dibuai cerita angkasa melangit, terbanglah dia.

Jangan kau gantung dia tiada bertali
Jangan kau biarkan dia lemah tiada hati
Jika benar kamu kumbang sakti, bunga itu tidak perlu tersungkur.
Petiklah dia.
Secepatnya.
Lekas! Jangan sampai bunga itu hilang seri
Saktimu dan serinya akan mengembalikan cahaya alam buana ini.
Bukankah itu ajaran Rasul kita?
Bukankah itu mengelakkan kemurkaan Tuhan kita?
Dari kamu berterus-terusan menghentak kaki, ego tiada bertepi, lekaslahhh..
Petik bunga itu dan berlarilah kamu di syurga nanti

Aku sayangkan bunga
dan kamu wahai kumbang
Cinta mana yang harus kusumpah menjadi racun?
Cinta yang membuatkan bunga dan kumbang tenggelam di alam fantasi.

Siramkan air dan baja
Mentari! Pancarkan cahaya!

Sempurnakan ia mengikut acuan yang sudah ditetapkan
Jangan diambil racun berbisa andai taman syurga bisa jadi milik kalian berdua

Petik dia.
Mohon petunjuk Raja Segala Cinta
Minta restu kedua orang tua
Dan aku mendoakan sentiasa

Bukan aku memaksa.
Tapi aku terpaksa
Sampai bila harus kau biarkan bunga itu terkulai di situ?
Dia perlukan jawapan.
Petik dia secepat yang kau mampu kumbang..
Andai bunga itu yang hadir dalam petunjukNya
Andai bunga itu yang tersenyum indah dalam mimpimu

Andai kamulah kumbang sakti itu..
Buktikan pada dunia kamu punya kuasa itu

Allah akan mempermudahkan segalanya.
Janji Allah itu pasti

"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya."
[At-Talaq:2]

Aku Ingin Lari



Untuk apa aku disini lagi
aku ingin lari
jauh..jauh..
kerana hati aku ingin lari
apa nak difikirkan lagi
kata hati kau lari..lari..

Namun dari sudut hati kecil
hati aku berbicara
jangan kau lari
kerana makin jauh kau lari hanya penat kau dapat
makin jauh kau tuju dia tetap mengejar
makin jauh kau pergi dia tetap mencari
usah kau lari

Aku termanggu sendiri
nak ku lari?
tidak lagi
aku perlu sendiri mencari ketenangan yang hakiki
penuhi hati dengan zikir Ilahi
dan mungkin apa yang pasti
aku harus bangun lagi bukan untuk lari jauh
tapi untuk lari mendapatkan
KEREDHAAN ILAHI
agar hidupku lebih beerti..

Wahai SAHABATKU yang kecewa




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Demi Tuhanku yang diriku di bawah penguasaan-Nya dan sentiasa dalam pengawasan-Nya, aku tidak menulis melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan dengan izin-Nya. Sesungguhnya aku menulis dengan penuh kasih sayangku kepadamu sebagai seorang sahabat, sebagai seorang saudara seagamaku. Aku tidak inginkan melainkan kebaikan bagi dirimu dan bagi diriku agar kita sama-sama beroleh syurga yang sangat kita impikan di pengakhiran sebuah perhitungan.

Wahai sahabatku,

Cinta itu letaknya di hati dan hati itu milik Allah. Tidak mungkin kita dapat menyentuh hati seseorang tanpa izin Allah dan jika Allah tidak mengkehendaki. Tidak patut kita serahkan hati kita yang dimiliki Allah itu kepada orang lain untuk dikuasai atau diperintah. Bahkan memang sepatutnya kita serahkan jiwa dan raga kita seluruhnya kepada Allah. Adapun rasa cinta yang lahir sesama manusia itu hanya jalan menuju cinta Allah. Janganlah sekali-kali kita menukarkan tujuan cinta di hati yang sepatutnya untuk Allah kepada manusia hanya kerana kita dapat melihat kecantikan manusia dan kita tidak dapat melihat Allah, kita cuma merasa dan melihat kecantikan segala ciptaan-Nya. Kita lupa dan selalu tidak sedar hakikat segala kecantikan itu adalah milik Allah. Jadikanlah cinta kepada manusia itu sebagai jalan menuju Tuhan, bukan matlamat dan pengakhiran destinasi cinta. Maka engkau akan lebih tenang menerima segala penolakan.

Wahai sahabatku,

Hati kita meronta untuk mencintai dan dicintai. Alangkah remuk redamnya hati tatkala apa yang kita cintai tidak kita miliki. Alangkah kecewanya jiwa tatkala cinta kita tidak dibalas oleh orang yang kita cintai. Ternyata hati itu bukan milik kita, ia milik Allah. Kita tidak bersalah tatkala cinta itu lahir terhadap seseorang, tetapi kita keterlaluan tatkala kita memaksa ia kepada seseorang. Bukankah sepatutnya kita redha dengan ketentuan Allah yang tidak menumbuhkan cinta terhadap kita di hati orang yang kita cintai? Alangkah zalimnya kita tatkala kita tidak dapat menerima apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sedangkan saban hari kita sering tidak menghargai cinta Allah, kita tidak pula membalas segala anugerah cinta yang Allah berikan kepada kita pada setiap hembusan nafas, pada setiap detik kehidupan yang kita lalui. Bukankah Allah lebih layak untuk murka kepada kita kerana kita tidak membalas-Nya dengan ketaatan yang sepatutnya?

Wahai sahabatku,

Allah menjanjikan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Yakinlah akan janji Allah, sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji. Perbaikilah setiap inci kehidupanmu agar engkau termasuk di kalangan orang yang beroleh pasangan yang baik. Allah tahu tentang dirimu lebih daripada engkau sendiri. Maka Allah telah menetapkan untukmu lebih baik daripada apa yang engkau kehendaki. Boleh jadi engkau cintakan sesuatu tetapi ia buruk bagimu dan begitu juga sebaliknya. Pada setiap persimpangan kehidupanmu, apakah engkau merasakan bahawa Allah tiada bersamamu? Bahkan dia sentiasa mendengar dan melihatmu. Persoalannya, apakah engkau sudah merintih pada-Nya, meminta pada-Nya dan memperlihatkan apa yang sepatutnya kepada –Nya? Aku berlindung dengan Allah daripada menjadi hamba yang kufur dan lupa diri.

Wahai sahabatku,

Sungguh cinta itu telah menjadi faktor yang dapat mengubah sesuatu kepada lebih baik atau sebaliknya. Ada manusia biasa yang berubah menjadi wali kerana kuasa cinta, dan ada pula yang bisa menjadi hina kerana dikuasai cinta. Ya, tamadun itu berkembang dan boleh jadi hancur kerana cinta. Tidakkah engkau melihat Taj Mahal yang terbina kerana cinta? Sebaliknya, ada pula yang membunuh kerana cinta. Persoalanku kepadamu, apakah engkau ingin berubah kerana cinta ke arah Redha Allah atau mungkin lebih jauh daripada Allah?

Wahai sahabatku,

Aku tidak mengatakan bahawa aku mengetahui segala isi hatimu atau segala kekacauan yang mengisi jiwamu. Aku cuma ingin berpesan agar engkau tidak meletakkan keinginanmu lebih tinggi daripada ketentuan Allah. Aku ingin engkau mengerti bahawa milik Allahlah segala kejadian. Kemudiannya aku ingin engkau membawa kefahaman tersebut kepada pengamalan dalam kehidupan yang kau lalui agar ia hidup bersamamu di dalam setiap inci kehidupan. Janganlah engkau mengatakan bahawa engkau mentaati Allah di saat hidupmu bergelumang dengan jahiliah. Aku juga sepertimu, anak muda yang bergelora jiwanya. Maka aku berpesan kepadamu agar aku juga dipelihara Allah daripada segala penyelewengan dalam memahami hakikat cinta. Aku memohon keampunan kepada Allah atas segala kesalahan yang kuungkapkan dan kumohon kau doakanlah kebahagiaanku di dunia dan di akhirat. Moga kita dipertemukan Allah untuk hidup di syurga yang kekal selama-lamanya.

Wahai sahabatku yang kecewa,

Bersabarlah…

We are SPECIAL !!!...



Setiap daripada kita dilahirkan daripada rahim seorang ibu. Biar sehebat mana kita membenci diri sendiri, jangan pernah lupa bahawa suatu ketika dahulu kelahiran kita pernah disambut penuh tawa, girang gembira oleh ibu dan ayah. Biarpun satu dunia membenci, ingatlah bahawa kita tetap istimewa. Oleh sebab itulah Allah masih membenarkan kita hidup bernyawa. Jika ada satu perkara yang harus disedari supaya kita tidak merasa lemah, itulah dia, “We are special!“.


Kita punya akal. Jika tidak, mustahil kita dapat membaca artikel ini. Akal adalah anugerah Allah yang tidak terhingga. Ia membezakan antara manusia dan haiwan, juga tumbuh-tumbuhan. Manusia yang sering menghina diri sendiri dan bersikap lemah di hadapan orang lain sebenarnya sedang bersikap kufur dengan nikmat Allah. Dia tidak tahu menghargai nikmat akal yang dianugerahkan kepadanya. Seolah-olah penghormatan Allah itu tidak mahu diterima dan dianggap tidak bernilai.

“Aku bodoh, mereka pandai…aku lemah tak punya apa-apa, mereka hebat”

Orang yang tidak tahu menghargai diri sendiri adalah orang yang tidak tahu berterima kasih dan bersyukur kepada Allah. Maka, menyedari bahawa we are special adalah jalan menuju syukur.

Firman Allah:

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (At-Tiin:4)


Keangkuhan kita, keengganan kita untuk menghargai ciptaan Allah iaitu diri sendiri boleh mengundang murka Allah dan menjatuhkan martabat kita di sisi-Nya. Firman Allah:

Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah (At-Tiin:5)


Apabila kita telah menyedari bahawa kita adalah istimewa, kita akan lebih bersyukur. Kesyukuran itu membawa kita menggunakan segala keistimewaan untuk berbakti dan taat kepada Allah. Kesedaran itu akan mengubah persepsi kita dalam kehidupan dan menjadikan kita lebih bertenaga untuk melangkah. Kita tidak lagi merasa sedih dan lemah di sisi manusia. Bahkan, itulah yang dikehendaki Allah. Firman-Nya:

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. (Ali Imran:139)


Kesimpulannya, ada 1001 sebab yang boleh kita rungkaikan untuk membuktikan bahawa“we are special!“.

Saturday, January 15, 2011

Cabaran Kehidupan

alt

Hidup ini cukup indah. Penuh dengan misteri. Kata orang warna-warni. Adakalanya kita berduka, ada juga masanya kita gembira. Yang penting, dalam apa jua keadaan sekalipun, sentiasa ingat kepada Sang Pencipta, Allah s.w.t. Syukur dan sabar; 2 rahsia kejayaan.

Aku melontarkan pandangan ke luar tingkap. Cuaca begitu terang sekali. Ramai sungguh orang keluar menikmati teriknya mentari. Kukira di Malaysia situasinya berbeza. Kita menunggu sang suria beredar barulah kita menampakkan diri. Benar kata orang, kita hanya menghargai sesuatu itu bila kita kehilangannya.

Ok. Kali ini ingin aku kongsikan perbualanku dengan Miss. Y tempoh hari.

Kala itu kami sedang menikmati hidangan istimewa di sebuah restoran.

"Pelik betul manusia ni, asyik mengeluhhhh je," Miss. Y memulakan bicara.

"Mmm..biasa la tu..apa yang peliknya?" Aku menjawab.

"Keluhan tidak menyelesaikan masalah... malah melambatkan proses menyelesaikan masalah."

"Well... bagaimana kalau keluhan itu adalah sebahagian dari proses menyelesaikan masalah?" Aku cuba menghangatkan sedikit perbualan.

"Jika begitu, kita perlu lihat semula kepada sirah.. ingat Khabbab Al-Art?"

Aku menganggukkan kepala. Khabbab Al-Art merupakan orang yang meminta Rasulullah s.a.w. berdoa supaya dilepaskan daripada kezaliman arab Quraisy. Lalu Nabi s.a.w mengingatkan Khabbab akan betapa umat terdahulu ujiannya jauh lagi hebat daripada ujian yang mereka hadapi ini.

"Masalah ni takkan habis... masalah ini akan sentiasa datang sebab kita ini hidup. Bukan hidup-hidupan," Miss. Y menyambung bicaranya.

Aku mengiyakan. Tidak mahu menganggu ucapan Miss. Y.

"Kereta hanya ada masalah jika kereta tu bergerak. Kalau dok kat umah je, memang tak jumpenya lampu isyarat, polis semua tu. Yang penting adalah, kita kena persiapkan diri kita untuk menghadapi masalah ini. Kita di sini untuk menyelesaikan masalah, bukan untuk mencipta masalah."

"Setuju. Dan semakin matang kita semakin besar cabarannya. Cabaran membawa kereta tak sama seperti cabaran membawa lori," aku memotong Miss. Y... meminjam analogi yang sama.

"Bagus.. Allah tidak akan memberikan sesuatu di luar kemampuan kita. Fikir dan zikir!" Miss. Y menjawab sambil tersenyum.

Cabaran itu akan sentiasa hadir. Dan itulah gunanya kita, manusia yang dikurniakan akal untuk berfikir. Namun harus diingat, kata Hamka, hujung akal adalah pangkal agama. Akal ini ada hadnya.

Friday, January 7, 2011

Kebahagiaan Hakiki


KEBAHAGIAAN. Perkataan yang seringkali kita dengar. Dan Setiap orang mencari kebahagiaan masing-masing. Termasuk Anda, saya dan ratusan juta insan manusia lainnya di muka bumi ini. Bila Anda bertanya pada sembarang orang ‘apa yang ingin Anda dapatkan dalam hidup ini?’.. Kebanyakan orang akan menjawab ‘saya ingin bahagia’ sebagai salah satu hal yang paling mereka inginkan.

Lalu, pertanyaan berikutnya muncul, ‘apakah Anda sudah bahagia?’. Ada yang cakap, ‘ya, saya bahagia’. Begitu juga, sebagian yang lain akan berkeluh-kesah ‘saya tidak bahagia’.

Ada yang mengatakan dia bahagia apabila :-

* Memiliki rumah bagus, mobil mewah, isteri cantik, suami baik dan anak-anak yang lucu.

* Badan sihat, hati girang, fikiran tenang, bebas hutang.

* Hidup tenteram dan tidak punya banyak masalah.

* Mendapatkan seseorang yang mencintai dan dicintai seumur hidup.

* Menjadi diri sendiri.

* Bebas melakukan sesuatu dan tidak terikat dengan orang lain.

* Terlepas dari keadaan yang membuatkan ianya stress.

dan macam-macam pendapat yang bebeza-beza.



Namun, keadaan yang mendatangkan kebahagiaan kepada seseorang tidak semestinya mendatangkan kebahagiaan kepada individu yang lain. Ia amat subjektif.

Seorang yang miskin akan merasa bahagia apabila beliau dikurniakan dengan kesenangan. Mungkin beliau mempunyai rancangan untuk membina rumah besar, berkereta besar, melancong ke sana ke mari. Namun semua ini merupakan kebahagiaan kepada seseorang yang dilahirkan di dalam keluarga yang berharta.

Seorang pencipta lagu akan merasa bahagia apabila lagunya memenangi kejuaraan dan menjadi nyanyian orang ramai. Namun semua ini tidak beerti kepada seseorang yang tidak mengenal nod-nod muzik.

Seseorang yang belum berumahtangga atau sedang bercinta, sudah tentu melihat kebahagiaan itu terletak di alam perkahwinan. Namun sejarah menukilkan individu seperti Asma Binti Bahdal, isteri kepada Muawiyah bin Abu Sufyan lebih merasa bahagia apabila kembali ke pondok buruknya yang pernah didiaminya suatu ketika dahulu.

Untuk kebanyakan orang, cita-cita, impian dan keinginan dikaitkan dengan kebahagiaan. Secara tidak langsung kebahagiaan menjadi matlamat hidup. Namun persoalannya, apa yang akan berlaku setelah bahagia itu tercapai?

Si miskin tadi telah membina 10 buah rumah besar, telah membeli 100 buah kereta mewah, telah melancong ke serata pelosok dunia. Lalu apa yang akan dilakukannya setelah itu?

Adakah kebahagiaan yang kita impikan selama ini adalah kebahagiaan yang benar-benar kita perlu? Atau ada sesuatu di sebalik kebahagiaan itu yang masih tersembunyi? What do you think it is?



Firman Allah “Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.” Surah Ar-Ra’d, : Ayat 29.

Itulah kebahagiaan yang sebenar. Sebuah kebahagiaan yang lebih hakiki.

Wallahu’alam.

Saturday, January 1, 2011

1st JANUARY 2011



Salam untuk semua,, semoga kalian semua berada dalam "inayah" allah s.w.t... ameenn... hari nie dah masuk, 1st januari bagi tahun 2011... bila nak dikire2 ape yang diazamkan tahun lepas adalah juga yang tercapai, dan yang belum tercapai perlu diteruskan usaha ye aleeya... hehehehe... 3rd January dah start kelas, so aleeya dah ready for class?? nak kata ready, tak la 100%... ade la dalam 70%... lagi 30% tu hal2 yang lain.. :) ... tahun nie azam kena tinggi sikit sebab nak amik degree in pshcology this year jugak... kalau ade rezeki insyaallah.... wah2, tak menyempat lak aku nie en, nak ade degree....

actually, dari tahun 2007 lagi azam nak menderma darah, tapi tak kesampaian lagi... bile nk derma darah ade jela ujiannya contohnya, dulu berat badan tak cukup so tak boleh nk derma darah.... sebab org kata, kalau dah derma darah nie badan naik mendadak.... ye ke? aku tak derma darah lagi badan naik da macam belon lg adela... hehehehe... ape2 pun nk teruskan azam untuk menderma darah..... jom.....

8th January, sabtu nie.... abah balik malaysia... hureyyy... doakan abah saya selamat sampai di malaysia.... tak saba nak tunggu abah balik malaysia... kalau abah nak tawu, anak2 abah nie sume dah plan macam2 untuk abah kat umah sebab nak isi masa yang terluang dengan abah... wah3,,, tapi yang tak bestnye, abah cuti cume 3 minggu je kat malaysia adela dalam 20 hari.... aduhhhh, sempat ke dengan plan kteorg nie... ape2 pun kena bersyukur ye aleeya...... hehehehe...



Lastly, happy new year to all of u.... good luck for ur life and don't giveup,,, berusaha dan terus berusaha... jangan pernah berputus asa... may ALLAH bless both of u... ok, salam....