Thursday, August 19, 2010

Senyuman Dibulan Puasa


Senyuman ibarat satu pemandangan indah yang mendamaikan jiwa apatah lagi senyuman yang dilemparkan itu ikhlas dari hati yang tulus. Bulan Ramadhan inilah bulan di mana kita menunaikan rukun Iman yang ketiga iaitu puasa selama sebulan.

Keletihan yang dialami setiap muslim ketika menunaikan rukun islam ini pastinya membuatkan kita terlupa akan satu perkara yang penting selain menambah amal ibadat kita, iaitu senyum. Bagaimana hendak senyum apabila sudah letih lesu akibat berpuasa? Namun, sekiranya kita menyedari hakikat senyum ini pastinya anda akan lebih menghargai dan mudah memberikan senyuman kepada insan-insan di sekeliling anda dengan rela dan tanpa paksaan lebih-lebih lagi di bulan puasa yang akan menjelang tidak lama lagi ini.

Senyuman pengikat kasih sayang.

Orang yang mengukir senyuman mampu mengikat kasih orang yang disayangi mahupun insan disekelilingnya. Senyuman juga mampu memancarkan segala kebaikan dalam diri yang tak mungkin dirasai seseorang dalam tempoh yang singkat. Sinaran kebaikan, persahabatan, kejujuran, rasa hormat, kesabaran dan kawalan diri yang tinggi mampu terpancar dengan hanya satu senyuman yang ringkas dan mudah. Sekiranya selama ini mungkin ada hati-hati insan yang terluka dengan sikap dan perbuatan kita, hulurkanlah kemaafan beserta senyuman yang ikhlas mudah-mudahan kasih akan kembali bertaut dan erat tersimpul.

Senyuman juga berjangkit.

Senyuman yang dilemparkan kepada seseorang biasanya akan dibalas dengan senyuman juga walaupun apa jua keadaan orang yang dilemparkan senyuman ketika itu samada sedih ataupun gelisah. Itulah kuasa senyuman yang begitu ajaib. Senyuman yang ikhlas lahir dari hati dapat kita kenali melalui gaya senyuman itu sendiri, kerana senyuman sebegitu akan melibatkan semua bahagian muka terutama mata. Pendek kata senyuman yang ikhlas datang dengan satu pakej lengkap iaitu otot muka bergabung semua dengan mata yang mengecil, pipi yang terangkat dan bibir yang tersenyum. Seseorang itu pastinya akan merasa serba salah sekiranya dia tidak membalas senyuman yang telah dilemparkan kepadanya maka bermula daripada saat ini cubalah memulakan memberikan senyuman kepada semua orang dengan harapan virus senyuman ini akan merebak dengan meluas ke semua manusia dan seterusnya melahirkan suasana yang gembira dan menyeronokkan.

Tetapi mengapa susah senyum?

Pernah ada satu peristiwa berlaku kepada seorang wanita. Ketika itu dia berurusan di satu kaunter, tetapi pelayan di kaunter itu melayannya dengan muka yang masam sedangkan seketika tadi dia melayan pelanggan sebelumnya dengan muka yang manis sekali. Sehinggalah selesai urusan dengan pelayan tersebut, wanita itu masih tertanya-tanya, apakah silapnya sehingga dia dilayan dengan muka yang masam begitu. Sepintas dia melalui sebuah kedai yang bercermin besar, ketika itu dia terlihat wajahnya di cermin tersebut. Lalu dia tersenyum, patutlah pelayan tadi bermuka masam dengannya kerana wajahnya juga masam dan berkerut ketika itu, mungkin akibat tekanan kerja yang membebankan di pejabat. Lalu dia tersenyum sendiri dan mengubah riak wajahnya supaya kelihatan manis dengan senyuman.

Sememangnya ada individu yang dilahirkan secara semulajadinya berwajah masam, berwajah bersahaja dan sentiasa murah dengan senyuman. Itu adalah kurniaan Ilahi yang boleh diubah sekiranya kita mengenali kelebihan dan kekurangan diri. Sebenarnya mereka yang berwajah masam dan seakan susah senyum itu bukanlah susah senyum sebenarnya, tetapi mereka tidak tahu bila masanya fikiran bawah sedar mereka patut memprogramkan perbuatan senyum itu. Mereka juga tidak tahu bagaimana untuk menampilkan apa yang dirasainya kepada orang lain. Jadi secara tidak langsung, tanggapan orang lain terhadapnya kadangkala tidak tepat kerana orang hanya dapat melihat luaran tanpa dapat menilai dalaman. Maka kitalah yang mampu mengubah tanggapan orang lain terhadap diri kita dengan menampilkan wajah yang sepatutnya kepada orang lain untuk mengubah tanggapan negatif mereka kepada tanggapan yang positif.

Jadi, bagaimana caranya untuk mudah tersenyum?

Senyuman akan terjadi apabila kita memaksa diri untuk tersenyum. Latihan boleh dilakukan apabila kita bersendirian di bilik atau sebagainya. Jika hati sedang gelisah ataupun bersedih, cuba senyum seketika dan bayangkan keseronokan yang kita alami dengan insan tersayang, insyallah mood gembira akan terus meresap dalam diri ketika itu juga. Walaupun mungkin kegembiraan atau keceriaan tidak wujud dalam diri kita, tetapi apabila kita cuba juga bertindak bagi mewujudkan keceriaan itu, lambat laun ia terbentuk juga. Dari situlah akhirnya perasaan ceria itu membantu kita sentiasa mengukir senyuman yang cukup manis dan segar.

Selain itu, senyuman juga mudah terpancar apabila hati kita bersih dan tunduk pada Yang Maha Kuasa, Allah SWT. Dengan mengingati Allah, hati akan lebih damai dan bahagia. Namun, bagi yang ingin mengubat hati yang mungkin ketika ini berada dalam kesedihan, terluka ataupun kecewa maka inilah ubatnya iaitu Solat Malam ( tahajjud ), sentiasa berzikir membersihkan hati, membaca Al-Quran dengan maksudnya, perbanyakkan berpuasa sunat termasuklah wajib dan bergaul dengan orang Soleh ( orang yang baik dan beriman ). Barangsiapa yang dapat melakukan salah satu daripadanya insyallah hati akan lebih terubat dengan baiknya seterusnya dapat memberikan senyuman yang manis dan ikhlas untuk membahagiakan insan di sekeliling kita.

No comments:

Post a Comment